Trip Candat Terengganu : Day 1

Setelah beberapa tahun merancang dan diakhiri dengan kecundang di saat-saat akhir oleh faktor kerja dan keluarga, akhirnya tahun ini dapat juga kami merasa pengalaman mencandat sotong di Terengganu. Itu pun kira last minute punya confirmation. Ini semua idea Fathi. Dia kata, kalau nak tunggu semua confirm, memang plan ni akan terkubur begitu saja seperti tahun-tahun yang lepas.

Jadi kami bertolak ke Terengganu pada Jumaat (28 Julai 2019). Aku dan Fathi yang bekerja di pejabat yang sama terus menuju ke rumah aku yang terletak di Kulim sementara menunggu Din dan Daim yang datang dari Lumut. 6.15 petang, mereka pun tiba. Tanpa berlengah masa, kami mula memuatkan kereta dengan barang-barang yang ingin di bawa. Berbekalkan 2 batang joran, aku yakin yang aku bakal mendaratkan sotong jarum paling kurang 2 kilo bagi kategori pencandat amatur.

Menyusun barang ke dalam kereta

Sebelum bertolak, kami menjamu selera di rumah. Entah kenapa maam besar tiba-tiba volunteer pada hari itu untuk menyediakan juadah nasi ayam. Katanya, di sepanjang jalan Gerik tu tak ada kedai makan. Ini yang buat aku lebih confuse. Padahal dia sendiri pun tak pernah lalu jalan Gerik tu. Inilah yang orang panggil, confidence level tinggi.

WhatsApp Image 2019-06-28 at 3.43.15 PM

Menghitung masa nak keluar pejabat

Daim dan Din dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Kulim

Tepat pada pukul 7 petang, kami memulakan perjalanan. Seperti yang ramai sedia maklum, jalan Gerik tu memang bahaya. Lebih-lebih lagi bila waktu malam. Kalau nasib tak berapa baik, kadang-kadang boleh jumpa gajah melepak di atas jalan raya. Jadi, kami memerlukan seseorang yang handal mengendalikan kenderaan, seorang penyabar dan mempunyai skil pemanduan yang tinggi. Tak syak lagi, aku lah orang yang menepati ciri-ciri tersebut. Maka aku merupakan driver yang pertama dalam perjalanan kami ke Marang.

Sampai di Kuala Ketil, kami singgah sebentar di Masjid Kampung Kejai bagi menunaikan solat jamak Maghrib dan Isya’. Bak kata orang, kalau dah selesai urusan tuhan ni, baru lah lega nak buat urusan yang lain. Selesai solat, aku terus ke kereta bersama Din. Fathi pula hilang ke tandas manakala Daim pulak terkulat-kulat di pintu masjid, di tarbiah oleh ustaz tabligh. Aku dan Din hanya mampu usha tajam dari dalam kereta.

Kami pun meneruskan perjalanan yang masih panjang. Aku dah target yang kami akan tiba di Marang dalam linkungan pukul 2 pagi. Di sepanjang perjalanan, Fathi lena dibuai mimpi di seat belakang. Din pula sekejap lena, sekejap bangun; kadang kala mengiyakan perbualan aku dan Daim. Apa yang dia iya kan, aku pun kurang pasti. Hanya tinggal aku dan Daim yang rancak berbual tentang bermacam-macam perkara. Sekejap perihal keluarga, sekejap perihal kerja. Maklum saja lah, sekarang masing-masing dah berkeluarga dan duduk pula jauh-jauh.

Din yang tewas awal

Sampai di jalan Gerik, jalan agak berkabus. Nasib menyebelahi kami malam itu kerana tak banyak lori yang menghalang jalan. Tiba-tiba aku teringat pasal gajah. Memandangkan Daim ni orang Terengganu, maka aku fikir dialah orang yang paling layak untuk menceritakan perihal gajah ni. Aku pun bertanya :

“Daim, memang selalu sangat ke orang terserempak dengan gajah area ni? Besar mana gajah tu?”

Besar jugak lah. Besar lagi dari kereta.

Daim, Jalan Gerik, 2019

Fathi yang lena jadi bangun. Din pulak jadi hot serta merta sambil menyiku tingkap kereta bila dengar penjelasan yang tak berasas dari Daim. Apa dia ingat kami ni tak belajar sains ke masa sekolah rendah dulu? Fakta yang begitu mudah, murid sekolah tadika pun tahu. Daim will always be Daim; mengundang tak habis-habis.

Selepas melimpasi kawasan Gerik, kami melintasi Tasik Temenggor di kawasan Pulau Banding, seterusnya memasuki sempadan negeri Kelantan. Masa ni Daim dah macam hilang pedoman menahan mengantuk. Silap hari bulan, kepala boleh terhantuk ke dashboard. Aku pun menyarankan Daim untuk tidur saja merehatkan mata. Aku meneruskan pemanduan dengan komited seorang diri menempuhi Jeli, Machang dan seterusnya ke Jerteh sebelum menyusuri jalan pesisir pantai untuk ke Marang. Sesekali aku mendendangkan bait-bait lagu Jamal Abdillah sebagai peneman kerana isyarat radio kurang baik. Sampai di Jerteh, kami singgah sebentar di 7-Eleven.

Jam menunjukkan pukul 1.20 pagi. Setelah selesai membeli kopi dan menghilangkan lenguh, kami meneruskan perjalanan. Di pertengahan jalan, Daim menyarankan kami untuk mengikut jalan pesisir pantai dengan alasan jalan tersebut lebih tenang dan kurang selekoh. Kami jadi acuh tak acuh dengan cadangan Daim. Namun kami akur juga akhirnya selepas Daim berkali-kali menegaskan bahawa dia anak jati Jerteh dan hal ehwal jalan di Terengganu adalah peanut baginya. Aku sebagai driver terus membelok ke arah jalan Chalok-Telaga Papan. Di sepanjang jalan tersebut, hanya ada satu kereta sahaja yang kami nampak. Din mula rasa tak sedap hati. Tidak lama kemudian, kami terlihat papan tanda yang menunjukkan arah Merang.

“Kita nak pergi Marang. Bukannya Merang. Kau macam dah salah jalan je ni?” ujar Din dengan nada sedikit keras. Mungkin kerana dah panas badan minum tongkat ali power root.

“Betul lah jalan ni. Aku dah biasa lalu dah dengan bapak aku. Kau terus je lagi” Jawab Daim sambil mata meliar ke kiri kanan. Apa yang dia cari, aku pun tak berapa pasti. Yang pasti dari raut wajah dia nampak macam dah tak berapa confidence.

Di penghujung jalan, kami tiba di simpang tiga. Akhirnya kami sampai ke jalan pesisir dengan papan tanda menunjukkan arah Marang. Daim hanya mampu menarik nafas lega, sementara Din pura-pura tidur. Apabila kami hampir tiba di Kuala Terengganu, Fathi mula cuba menghubungi Bos, Mamu dan Senyum yang berangkat dari arah KL. Nampaknya mereka pun sudah semakin hampir ke destinasi.

Malang tidak berbau, jalan yang kami ikut tu ditutup sementara oleh polis trafik kerana ada larian marathon. Oleh kerana sudah larut malam dan masing-masing dah letih, Daim dan Din menawarkan diri untuk bertanya arah jalan pada seorang brader jual burger. Sekali lagi kami hampa kerana brader burger tak dapat menolong banyak. Akhirnya kami terpaksa mencari jalan alternatif sendiri dengan berpandukan Waze dan Google Maps.

Setelah beberapa kali percubaan, akhirnya kami berjaya mencari jalan lain untuk menuju ke Seberang Marang. Yang menariknya, timing kami dan kumpulan dari KL memang seperti sudah dijanji. Kami tiba di homestay serentak. Hanya Pejo dan Hakimi sahaja yang akan sampai keesokan hari kerana ada urusan kerja. Jam pada waktu itu menunjukkan hampir 3.30 pagi. Setelah berbincang ala kadar mengenai tentatif untuk hari kedua, kami pun masuk tidur. Masing-masing tidak sabar menunggu hari esok.

“Live location” bagi memudahkan kami di sepanjang perjalanan

2 thoughts on “Trip Candat Terengganu : Day 1

  1. Ada kesilapan fakta yang serious, terutamanya pada ayat “kami memerlukan seseorang yang handal mengendalikan kenderaan, seorang penyabar dan mempunyai skil pemanduan yang tinggi. Tak syak lagi, aku lah orang yang menepati ciri-ciri tersebut.”

    Like

Leave a comment