Trip Candat Terengganu : Day 2

Pada pagi itu, kami bangun dengan begitu semangat walaupun hanya sempat tidur beberapa jam sahaja. Kami bergerak ke rumah Senyum yang terletak berhadapan dengan homestay kami. Disana kami di jamu dengan laksam, laksa, pulut panggang dan Nescafe panas. Pada awalnya, kami rancang untuk bersarapan di kedai berhampiran dengan homestay namun ibu Senyum telah menyediakan sarapan lebih awal. Masing-masing makan dengan penuh selera. Fathi yang sedang menikmati laksam pinggan yang kedua jadi endah tak endah bila diajak berbual.

Selesai sarapan, kami mengambil keputusan untuk ke Pasar Payang. Ada dua sebab utama kenapa kami ke situ. Yang pertamanya adalah kerana bos ingin mencari baju kelawar untuk isterinya. Yang kedua pula, Fathi ingin mencari durian. Semuanya berpunca dari hasil tulisan aku mengenai durian di website kami tempoh hari.

Cuaca pada tengahari itu agak panas dan keadaan berhampiran di Pasar Payang agak sesak. Mungkin disebabkan keadaan jalan yang kecil kerana Bazaar Warisan sedang dalam proses baik pulih. Akhirnya kami parking betul-betul berhadapan gerai menjual durian.

Pada fikiran kami, lebih elok jika kami selesaikan urusan di Pasar Payang sebelum berehat menikmati durian. Urusan di Pasar Payang berjalan dengan lancar. Bos berhasil membeli baju kelawar yang dicari. Fathi pulak sempat mencari baju batik dengan alasan senang nak menghadiri majlis korporat. Kami pula hanya membeli sedikit buah tangan berupa t-shirt bertemakan Terengganu. Daim yang orang Jerteh pun tak terlepas.

Setelah selesai, kami menuju ke kedai durian seperti yang sudah dijanji. Bab pemilihan durian ni memerlukan kepakaran kerana durian itu sendiri mempunyai beratus-ratus jenis dan tak semuanya sama. Dalam memilih durian, pelbagai faktor perlu diambil kira seperti beratnya, bentuknya dan paling penting baunya. Tidak disangkal lagi, aku lah orang yang mempunyai skil-skil tersebut. Maka dengan rela hati, aku menggalas tanggungjawab untuk memilih durian pada hari itu.

Menikmati durian di Pasar Payang

Fathi dan Din berpuas hati dengan durian D24.

Dalam pukul 1.30 petang, kami bergerak ke kedai TCE Tackles yang terletak di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu. Masing-masing sibuk memilih squid jig untuk dipertaruhkan malam nanti. Hanya Bos yang melabur modal yang agak tinggi dengan membeli joran dan mesin pancing. Katanya baru ada feel nak mencandat. Tidak lama kemudian, Pejo dan Hakimi pun tiba di kedai yang sama, melengkapkan trip mencandat kami. Dalam pukul 3 petang, kami bergerak pulang ke homestay untuk memperkemas joran masing-masing dan berehat mengumpul tenaga untuk acara mencandat.

Berbincang formasi mencandat di depan kedai TCE Tackles

Hanya 1 jam lebih sahaja lagi sebelum kami bergerak ke jeti Marang. Tiba-tiba, kami mendapat khabar yang kurang baik. Tekong yang sepatutnya membawa kami ke laut menarik diri last minute atas alasan keadaan ombak yang kuat. Kami jadi tak tentu arah, takut kalau-kalau trip ini tak dapat diteruskan. Senyum selaku orang tempatan di Marang berusaha keras untuk mendapatkan bot lain sebagai pengganti.

Akhirnya, kami bertemu dengan tekong yang sudi membawa trip kami. Namanya Pok Li. Nak dijadikan cerita, Pok Li ini jugalah tekong yang membawa trip Hakimi tahun lepas. Serta-merta kami berbual mesra seperti sudah lama kenal.

Aku dan pemancing tegar yang kalah bau diesel, Hakimi

Muka-muka confidence di saat bot baru mula bergerak

Bos sempat bergambar untuk orang tersayang di rumah

Di pertengahan jalan ke kawasan candat. Daim cuba mengira bintang untuk mengurangkan mabuk

Bot kami tiba di lokasi mencandat

Memang betul kata pepatah Melayu lama : “Lautan dalam jangan di duga”

Belum pun tiba di kawasan mencandat. Daim tewas di telan badai yang yang menggila. Tidak ada apa yang boleh dia lakukan selain dari muntah, baring, dan kembali muntah, repeat. Din pula sudah tidak responsive dengan segala pertanyaan. Bibirnya biru, pucat menahan mabuk laut. Perkara yang sama juga terjadi pada Mamu dan Senyum. Mereka hanya mampu berpaut pada tong ikan tanpa berkata apa.

Kami teruskan juga misi mencandat kami. Semua yang masih survive pada waktu itu terus mengeluarkan joran dan memulakan misi memburu sotong jarum. Seperti yang aku jangka, aku tidak memerlukan masa yang begitu lama untuk mendapatkan hasil. Tidak sampai seminit, aku mendapatkan strike yang pertama. Din hanya mampu membantu menanggalkan sotong dari jig di tepi bot.

Selang beberapa minit kemudian, seorang demi seorang tumbang lalu rebah ke lantai bot. Semuanya seperti akur, mengalah dengan kehendak alam yang tidak simpati pada kami. Akhirnya hanya tinggal aku, Fathi dan Bos.

Fathi dan Bos berjaya mendaratkan seekor sotong masing-masing. Begitu juga Pejo, dia pun sempat mendaratkan seekor sotong sebelum rebah di bilik simpanan life jacket. Aku pula berhasil mendaratkan tiga ekor sotong. Akhirnya hanya tinggal Bos seorang yang masih steady bersama joran baru yang dibeli petang tadi. Dalam pukul 12.15 pagi, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti kerana tiada apa yang mampu kami lakukan lagi di atas bot. Ombak semakin deras menghentam, menyebabkan bot kami terumbang-ambing lebih dari 1 meter.

Fathi dengan hasil tangkapan yang pertama dan terakhir

Kami di uji sekali lagi apabila bot yang kami naiki mempunyai masalah enjin. Pok Li memberitahu yang enjin kehabisan minyak hitam kerana leaking. Dari jauh kami dapat melihat satu persatu bot lain telah bergerak meninggalkan kawasan candat. Pok Li cuba menghubungi bot-bot terdekat namun segalanya sia-sia kerana line tak berapa elok.

“Macam mana Pok Li? dapat ke contact bot lain?” aku bertanya kepada Pok Li yang duduk bersandar di pintu bilik kapten.

“Nampak gaya ni, Subuh baru kita boleh balik.” Ujar Pok Li sambil menghembus asap rokok SAAT.

“Ok lah Pok Li. Kalau macam tu saya nak lelap kejap di depan bot.”

Sedang aku lena di depan bot, aku merasakan yang bot kami mulai bergerak. Rupa-rupanya Pok Li berjaya mendapatkan bantuan bot lain. Bila dengar bot dah boleh jalan, masing-masing bangun tersengih tanda lega. Dalam pukul 2 lebih pagi, akhirnya kami selamat pulang ke jeti.

Kami tiba di Jeti Marang pukul 2 pagi

Masing-masing perut dah lapar. Mana tidaknya, habis semua nasi, kuah laksa, budu, durian D24 hanyut di tengah laut. Jadi kami pun singgah di warung berdekatan. Aku dan Hakimi tak bagi can, kami order nasi minyak dengan ayam merah. Makan nasi minyak pukul 2 pagi memang rare, di Terengganu je ada. Kami duduk berbual dengan Pok Li perihal laut dan selok belok mencandat.

“Korang ni kira ok lagi tau. Korang nampak yang duduk satu kumpulan tu?” Pok Li bertanya pada kami sambil menuding jari ke arah sekumpulan pemancing lain.

“Diorang tu lagi teruk. Satu bot ramai-ramai tu dapat 1 ekor je” ujar Pok Li seraya menghirup teh o panas.

Hampir pukul 3.30 pagi, kami pun bergerak pulang ke homestay bersama 6 ekor sotong, hasil tangkapan yang tak seberapa.

Leave a comment